MENGENAI KAMI
PAUTAN PANTAS
DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA NEGERI MELAKA
No. 71 & 73, Jalan SP 4,
Taman Semabok Perdana,
75050 Semabok, Melaka.
Tel: 06-2832298
Fax: 06-2845663
Emel: dpmmmelaka@gmail.com
dpmmnm.org@2015
Penubuhan DPMM Di Peringkat Negeri
Usaha terawal untuk mewujudkan persatuan perniagaan di negeri telah dipelopori oleh peniaga-peniaga Melayu di Kelantan pada tahun 1938 dengan penubuhan Dewan Perniagaan Melayu Kelantan dalam tahun berkenaan.

Langkah yang dirintis oleh Dewan Perniagaan Melayu Kelantan kemudiannya telah diikuti oleh lain-lain negeri. Di Melaka, Dewan Perniagaan Melayu Melaka telah ditubuhkan pada tahun 1963.

Penubuhan GDPMM
Lanjutan daripada penubuhan Dewan-dewan Perniagaan Melayu di peringkat negeri (yang masing-masing berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Negeri), satu badan induk yang diberi nama Gabongan Dewan-dewan Perniagaan Melayu Se Malaya (GDPMM) ditubuhkan pada tahun 1956. Antara matlamat penubuhan ini adalah bertujuan mewujudkan satu pertubuhan di peringkat kebangsaan yang lebih kukuh bagi menyatukan Dewan-dewan Perniagaan Melayu di peringkat negeri.

Ketika itu GDPMM dianggotai oleh Dewan Perniagaan Melayu Kelantan; Dewan Perniagaan Melayu Perak; Dewan Perniagaan Melayu Johor dan Dewan Perniagaan Melayu Selangor sementara Dewan-dewan Perniagaan Melayu negeri yang lain masih menggunakan Perlembagan Dewan negeri masing-masing dan cuma bergabung untuk menjalankan aktiviti di peringkat "Pusat" sahaja.

Penubuhan DPPMM
Pada tahun 1974, nama GDPMM ditukar kepada Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Malaysia (DPPMM) dan perlembagaannya juga turut diubah, disusun semula dan dikemaskinikan.

Pertukaran GDPMM kepada DPPMM dibuat apabila Perlembagaan GDPMM yang dipinda pada tahun 1968 digubal semula pada tahun 1973. Ini adalah cetusan ide YM Tengku Razaleigh Hamzah selaku Yang Di-Pertua GDPMM semasa Mesyuarat Agung Tahunan GDPMM pada tahun 1972.

Lanjutan daripada itu, satu Mesyuarat Agung Tergempar GDPMM telah diadakan pada 17 Ogos 1973 di mana persetujuan telah dicapai supaya Perlembagaan GDPMM yang diluluskan pada 26 September 1968 dibubarkan. Sebagai gantinya, Perlembagaan DPPMM yang akan dibentuk itu diterimapakai.

Pertukaran nama dari "Gabongan" kepada "Dewan" ini juga dibuat bagi menunjukkan bahawa DPPMM bukan lagi satu gabungan yang terdiri daripada Dewan-dewan negeri, tetapi adalah sebuah "Dewan Pusat" yang mempunyai cawangan di setiap negeri.

Pertukaran nama baru ini telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 11 Februari 1974. Kelulusan ini diberi mengikut Fasal 11 Akta Pertubuhan Malaysia.

Penubuhan DPMM
DPPMM sekali lagi melalui perubahan struktur – dari segi pertukaran nama dan pindaan perlembagaan - pada tahun 1994, di bawah kepimpinan tokoh korporat pertama Tan Sri Azmi Wan Hamzah.

Pertukaran nama dan pindaan perlembagaan itu telah diterima dengan sebulat suara semasa Mesyuarat Agung Luarbiasa pada 31 Mac 1994. Perlembagaan dan Perintah Peraturan baru ini telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 13 Mei 1994 dan berkuatkuasa pada tarikh yang sama.

Di bawah Perlembagaan baru ini nama DPPMM ditukar kepada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). Perkataan "Perusahaan" telah digugurkan kerana perkataan "Perniagaan" itu bermakna perniagaan, perdagangan dan perindustrian, atau salah satu daripadanya.

Tempoh penggal pemilihan dan perlantikan jawatan di dalam Dewan-dewan negeri telah diselaraskan dengan Dewan Pusat iaitu semua jawatan yang dipilih dan dilantik akan dipegang selama tempoh satu penggal atau 3 tahun berturut-turut. Berbanding sebelum ini, tempoh penggal selama 2 tahun yang diamalkan oleh Dewan-dewan negeri.

Ibupejabat DPMM Pusat adalah di Kuala Lumpur dan mempunyai 14 cawangan di setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah, kecuali di Sarawak.