PERANAN

Menggalakkan penyertaan aktif para usahawan dan ikhtisas Melayu sebagai anggota dan/atau tenaga sokongan bagi mewujudkan satu badan yang utuh dan bersepadu.

Mengenalpasti, menggerak dan menggembeling pelbagai sumber yang perlu bagi mewujudkan satu kuasa bagi memungkinkan tindakan yang lengkap, menyeluruh dan berkekalan.

Menubuh dan mewujudkan jentera-jentera dan badan bertindak perlaksanaan bagi meningkatkan produktiviti dan mutu urusniaga Bumiputera.

Merancang strategi dan melaksanakan program-program yang berkesan bagi meninggi dan mengukuhkan prestasi ahli-ahli dan masayarakat usahawan Melayu amnya.

Mengusahakan kewujudan suatu iklim yang menggalakkan bagi memungkinkan perkembangan satu masyarakat usahawan Bumiputera yang dinamik, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

Mengikhtiarkan, merangka dan melaksanakan apa jua kegiatan, tindakan dan usaha yang sesuai bagi mencapai matlamat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

OBJEKTIF

Menubuh dan mewujudkan satu pertubuhan perniagaan Melayu di peringkat Kebangsaan dan Negeri untuk kepentingan dan faedah Melayu di lapangan perniagaan dan ikhtisas.

Menyatupadukan peniaga dan ikhtisas Melayu untuk kepentingan dan faedah ekonomi Melayu.

Meningkatkan maruah dan kecemerlangan bangsa Melayu khususnya dalam bidang ekonomi di peringkat Negeri, Negara dan antarabangsa.

Menjadi wadah perjuangan ekonomi bangsa Melayu.

Mempastikan terjaminnya kepentingan Ahli di dalam undang-undang yang digubal atau dipinda di Malaysia yang berkaitan dengan perniagaan.

Menentukan aktiviti DPMM Negeri dan Ahli Bergabung adalah selaras dengan asas dan tujuan Dewan.

Menerbitkan majalah dan risalah, dan menyediakan laman web yang berkaitan dengan perniagaan.

Membantu atau mewakili Ahli di dalam perbincangan berkenaan perdagangan, pembelian, penjualan dan lain-lain sama ada di dalam atau di luar Malaysia.

Membuat perhubungan atau bekerjasama dengan lain-lain badan atau persatuan yang mempunyai tujuan yang sama dengan Dewan.

Menubuhkan tabung-tabung biasiswa, amanah dan lain-lain untuk kebajikan Ahli dan sekiranya perlu untuk membantu individu Melayu, ahli pertubuhan, perbadanan dan/atau persatuan Bumiputera dan/atau orang-orang Islam yang memerlukannya.

Mengeluarkan Sijil Tempasal (Certificate of Origin) atau lain-lain sijil ke atas barangan yang dieksport dari Malaysia dan membuat sebarang pengesahan mengikut peraturan yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

Membeli, menjual, menggadai, memajak, memiliki, menyewa, pindah hakmilik, menyerah, memaju dan membuat lain-lain urusan yang bersangkutan dengan harta alih dan tak alih.

Membina bangunan untuk kegunaan atau kepentingan Dewan.

Meminjam wang untuk kegunaan dan kepentingan Dewan.

Menjalankan penyelidikan dalam kesemua masalah dan untuk memajukan atau mencadangkan kaedah-kaedah tindakan dan prosedur yang dianggap perlu atau berfaedah untuk kesemua atau salah satu daripada asas dan tujuan Dewan.

Menubuhkan Yayasan untuk kebajikan, pelajaran, latihan, pengurusan dan kemahiran dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Menjalankan sebarang aktiviti atau apa jua langkah selain daripada perkara di atas bagi kesempurnaan perjalanan Dewan dan DPMM Negeri bagi faedah ekonomi bangsa Melayu.

Membantu mewujudkan rangkaian perniagaan di antara ahli-ahli Dewan dan ahli-ahli Dewan-Dewan Perniagaan yang lain di dalam dan di luar negara dan memberi keutamaan pengagihan peluang-peluang kepada Ahli-Ahli Dewan.

SEJARAH

Penubuhan DPMM Di Peringkat Negeri
Usaha terawal untuk mewujudkan persatuan perniagaan di negeri telah dipelopori oleh peniaga-peniaga Melayu di Kelantan pada tahun 1938 dengan penubuhan Dewan Perniagaan Melayu Kelantan dalam tahun berkenaan.

Langkah yang dirintis oleh Dewan Perniagaan Melayu Kelantan kemudiannya telah diikuti oleh lain-lain negeri. Di Melaka, Dewan Perniagaan Melayu Melaka telah ditubuhkan pada tahun 1963.

Penubuhan GDPMM
Lanjutan daripada penubuhan Dewan-dewan Perniagaan Melayu di peringkat negeri (yang masing-masing berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Negeri), satu badan induk yang diberi nama Gabongan Dewan-dewan Perniagaan Melayu Se Malaya (GDPMM) ditubuhkan pada tahun 1956. Antara matlamat penubuhan ini adalah bertujuan mewujudkan satu pertubuhan di peringkat kebangsaan yang lebih kukuh bagi menyatukan Dewan-dewan Perniagaan Melayu di peringkat negeri.

Ketika itu GDPMM dianggotai oleh Dewan Perniagaan Melayu Kelantan; Dewan Perniagaan Melayu Perak; Dewan Perniagaan Melayu Johor dan Dewan Perniagaan Melayu Selangor sementara Dewan-dewan Perniagaan Melayu negeri yang lain masih menggunakan Perlembagan Dewan negeri masing-masing dan cuma bergabung untuk menjalankan aktiviti di peringkat “Pusat” sahaja.

Penubuhan DPPMM
Pada tahun 1974, nama GDPMM ditukar kepada Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Malaysia (DPPMM) dan perlembagaannya juga turut diubah, disusun semula dan dikemaskinikan.

Pertukaran GDPMM kepada DPPMM dibuat apabila Perlembagaan GDPMM yang dipinda pada tahun 1968 digubal semula pada tahun 1973. Ini adalah cetusan ide YM Tengku Razaleigh Hamzah selaku Yang Di-Pertua GDPMM semasa Mesyuarat Agung Tahunan GDPMM pada tahun 1972.

Lanjutan daripada itu, satu Mesyuarat Agung Tergempar GDPMM telah diadakan pada 17 Ogos 1973 di mana persetujuan telah dicapai supaya Perlembagaan GDPMM yang diluluskan pada 26 September 1968 dibubarkan. Sebagai gantinya, Perlembagaan DPPMM yang akan dibentuk itu diterimapakai.

Pertukaran nama dari “Gabongan” kepada “Dewan” ini juga dibuat bagi menunjukkan bahawa DPPMM bukan lagi satu gabungan yang terdiri daripada Dewan-dewan negeri, tetapi adalah sebuah “Dewan Pusat” yang mempunyai cawangan di setiap negeri.

Pertukaran nama baru ini telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 11 Februari 1974. Kelulusan ini diberi mengikut Fasal 11 Akta Pertubuhan Malaysia.

Penubuhan DPMM
DPPMM sekali lagi melalui perubahan struktur – dari segi pertukaran nama dan pindaan perlembagaan – pada tahun 1994, di bawah kepimpinan tokoh korporat pertama Tan Sri Azmi Wan Hamzah.

Pertukaran nama dan pindaan perlembagaan itu telah diterima dengan sebulat suara semasa Mesyuarat Agung Luarbiasa pada 31 Mac 1994. Perlembagaan dan Perintah Peraturan baru ini telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 13 Mei 1994 dan berkuatkuasa pada tarikh yang sama.

Di bawah Perlembagaan baru ini nama DPPMM ditukar kepada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). Perkataan “Perusahaan” telah digugurkan kerana perkataan “Perniagaan” itu bermakna perniagaan, perdagangan dan perindustrian, atau salah satu daripadanya.

Ibupejabat DPMM Pusat adalah di Kuala Lumpur dan mempunyai 14 cawangan di setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah, kecuali di Sarawak.